Melaka, sebuah bandar yang terkenal dengan status Warisan Dunia UNESCO, sedang menambah baik pengalaman pelawat melalui peluasan menarik bagi inisiatif zon bebas kenderaan. Mulai 22 Disember 2023, kawasan bersejarah utama Melaka akan berubah menjadi syurga pejalan kaki setiap hujung minggu.
Sebelum ini, inisiatif ini menawarkan pengalaman berjalan kaki yang tenang dari 6:00 petang hingga tengah malam setiap Sabtu. Kini, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah melanjutkannya dari petang Jumaat hingga tengah malam Ahad, memberikan lebih 50 jam untuk meneroka bandar tanpa gangguan kenderaan. Perubahan ini memberi lebih banyak masa kepada pelancong untuk menyusuri jalan-jalan bersejarah Melaka sambil menikmati suasana di lokasi seperti Gereja St Francis Xavier, Gereja Christ, Stadthuys, serta Jonker Walk dan Pasar Malam Jonker Walk yang meriah.
Zon bebas kenderaan yang dilanjutkan ini merangkumi laluan utama seperti Jalan Istana, Jalan Mahkamah, Jalan Gereja, Lorong Gereja, Jalan Laksamana, dan sebahagian Jalan Tun Khalil Yaakob serta Jalan Merdeka, memastikan pesona sejarah Melaka dapat dinikmati tanpa gangguan kenderaan.

Maklumat penting untuk pelancong
- Bila? Setiap Jumaat 6:00 petang hingga Ahad tengah malam.
- Di mana? Jalan Istana, Jalan Mahkamah, Jalan Gereja, Lorong Gereja, Jalan Laksamana, serta sebahagian Jalan Tun Khalil Yaakob dan Jalan Merdeka.
- Tujuan? Untuk menambah baik pengalaman berjalan kaki di sekitar zon Warisan Dunia UNESCO dengan suasana yang lebih tenang dan selamat.
Pengunjung digalakkan merancang itinerari perjalanan dengan mengambil kira peluasan ini, kerana ia membuka peluang unik untuk menikmati penawaran budaya bandar ini dengan lebih dekat. Sama ada menikmati pemandangan sungai, mencuba makanan tempatan, atau membeli kraftangan, inisiatif zon bebas kenderaan ini menjanjikan pengalaman yang santai dan menyeluruh.
Bagi mereka yang memandu ke Melaka, penting untuk mengambil maklum tentang perubahan trafik pada waktu ini dan merancang parkir dengan sewajarnya. Bandar ini mempunyai beberapa kawasan parkir berhampiran zon bebas kenderaan yang memudahkan akses ke laluan pejalan kaki.
Ketika Melaka terus mengutamakan kelestarian dan pemeliharaan budaya, inisiatif seperti zon bebas kenderaan bukan sahaja meningkatkan pengalaman pelancong, malah membantu melindungi warisan bandar ini untuk generasi akan datang.
Rancang lawatan anda ke Melaka dan susuri lembaran sejarahnya, kini dengan lebih banyak masa dan ruang untuk benar-benar menghargai pesona bandar ini yang tidak lapuk dek zaman.